Title | Newspaper | Day | Date |
---|---|---|---|
Maybank Islamic sedia dana IAP RM60j | Berita Harian Online | Thursday | 16 March 2017 |
KUALA LUMPUR: Bermula hari ini, Maybank Islamic Bhd menawarkan dana RM60 juta di bawah Platform Akaun Pelaburan (IAP) kepada pelabur untuk mendapatkan akses kepada pelaburan di dalam aset pembiayaan patuh Syariah.
IAP, portal pelaburan pelbagai bank berpangkalan di internet adalah inisiatif strategik daripada beberapa institusi perbankan Islam, memulakan operasinya pada 2015.
Lima lagi bank yang terbabit adalah Affin Islamic, Bank Islam, Bank Muamalat, Bank Rakyat dan Bank Simpanan Nasional.
Di bawah platform ini, Maybank Islamic memperkenalkan Akaun Pelaburan Tidak Terhad Khas (SURIA), secara khusus untuk menampung pelaburan di dalam IAP, untuk industri seperti hartanah, pembangunan, logistik dan pembinaan.
"Ketika IAP dilancarkan, ia satu pencapaian di dalam industri perbankan kerana ia meluaskan peranan kami sebagai perantara pelaburan dan gembira menjadi sebahagian daripada inisiatif sangat strategik ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican.
Katanya, melalui IAP, usahawan dan pelabur dapat melabur secara langsung ke dalam projek perniagaan atau aset pembiayaan, sekali gus mengukuhkan lagi peluang kepada dana boleh dilabur untuk mencari pelaburan bersesuaian.