MEDIA RELEASE

Title Newspaper Day Date
Rundingan pembiayaan IAP RM112 juta Berita Harian Online Saturday 23 September 2017


Rundingan pembiayaan IAP RM112 juta


KUALA LUMPUR: Platform Akaun Pelaburan (IAP) yang diuruskan beberapa institusi perbankan Islam terkemuka negara kini menyelesaikan enam perjanjian pembiayaan perniagaan berlandaskan Syariah dibawah konsep perkongsian risiko dengan nilai keseluruhan mencecah RM112 juta.

IAP adalah platform pelbagai perbankan Islam yang bertindak sebagai ejen Wakalah menguruskan penyaluran dana milik pelabur institusi atau pelabur runcit kepada pelanggan yang memerlukan pembiayaan perniagaan. Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Marzunisham Omar, berkata kejayaan produk inovatif dibawah sistem kewangan Islam itu membuktikan kemajuan yang dicapai institusi kewangan berlandaskan Syariah dan infrastruktur yang dibangunkan bank pusat bagi memenuhi keperluan kompleks pelanggan masa kini.

Katanya, IAP terbukti menjadi mekanisma penyedia pembiayaan kepada usahawan dengan menyatukan pelabur institusi atau pelabur runcit untuk menyediakan pembiayaan kepada syarikat yang memerlukan pelaburan dalam bentuk pembiayaan berasaskan ekuiti.

"BNM melihat potensi pertumbuhan kepada platform ini, bahkan institusi kewangan Islam juga melihat potensinya, maka dalam masa terdekat ini kita akan menyaksikan satu lagi institusi perbankan Islam menyertai IAP.

"Pada waktu ini juga ada satu rundingan perniagaan IAP baharu sedang berlangsung dan akan dimuktamadkan. Difahamkan ia menawarkan pulangan yang sangat menarik," katanya dalam temu bual bersama New Straits Times (NST) dan BH di sini.

IAP dilancarkan Februari tahun lalu menerusi kerjasama antara enam institusi perbankan Islam menjadi platform pertama menerapkan teknologi kewangan (fintech) bagi mendekatkan pelabur kepada kerjasama ekonomi berpotensi tinggi.

Sasaran kerjasama pelaburan itu meliputi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau mana-mana bidang pertumbuhan baharu dan inovasi yang memerlukan pembiayaan.

Mengulas lanjut, Marzunisham berkata, IAP menyediakan ketelusan kepada pelabur runcit apabila setiap rundingan pelaburan akan disertakan bersama penilaian wajar atau 'due diligence' yang dilakukan oleh bank, syarikat bebas serta agensi penarafan.

Katanya, ia bertujuan sebagai jaminan terdapatnya syarikat bebas yang memberikan penilaian kepada operasi dan keuntungan syarikat yang akan dibiayai dalam memastikan pelabur runcit membuta keputusan berasaskan kepada perkongsian risiko.

"Bagi pelabur runcit kita tidak ada masa, pemahaman atau modal untuk melakukan penilaian sendiri melainkan agensi pelaburan yang besar seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memiliki modal besar membuat penilaian mereka.

"Maka di sini agensi perbankan Islam akan meraih sedikit yuran sekitar satu peratus sebagai yuran menasihat anda sebagai pelabur," katanya.

INFO

Platform Akaun Pelaburan (IAP)

  • Ditawarkan secara eksklusif oleh bank-bank Islam
  • Melabur dalam sektor ekonomi pilihan anda
  • Pulangan atas pelaburan akan dikongsi dengan anda sebagai pelabur
  • Produk bukan deposit dan tidak dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM)
  • Pelaburan diurus secara profesional oleh bank-bank Islam