MEDIA RELEASE

Title Newspaper Day Date
Ar-Rahn 5 RM20 juta terlebih langganan sebanyak 1.56 kali pada IAP Utusan Online Wednesday 18 September 2019


Ar-Rahn 5 RM20 juta terlebih langganan sebanyak 1.56 kali pada IAP


KUALA LUMPUR 18 Sept. - Tawaran pelaburan oleh Bank Muamalat Malaysia Bhd. sebanyak RM20 juta dalam Projek Ar-Rahn 5 telah terlebih langganan sebanyak 1.56 kali pada Platform Akaun Pelaburan (IAP).

Tempoh kempen bagi Ar-Rahn 5 bermula semalam sehingga 27 September 2019, dengan projek itu dijadual bermula pada awal Oktober untuk tempoh enam bulan.

"Jangkaan pulangan kepada pelabur kekal menarik pada 6.15 peratus setahun di sebalik pengurangan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus oleh Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia pada 7 Mei, 2019," kata IAP Integrated Sdn. Bhd., yang memiliki dan mengendalikan operasi platform itu dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Joann Maryam Enriquez berkata, Bank Muamalat sepertimana dalam penyenaraian Ar-Rahn 4 sebelum ini, akan melaksanakan langkah peruntukan pelaburan susulan terlebih langganan itu.

Katanya ini juga merupakan kali pertama sebuah bank penaja memperuntukkan sebahagian pelaburan kepada pelanggan bernilai bersih tinggi menerusi rangkaian perbankan persendirian bank itu.

Sama seperti empat penyenaraian Ar-Rahn sebelum ini pada 2017, 2018 dan 2019, Projek Ar-Rahn 5 adalah pelaburan dalam perkongsian agregat sumbangan modal Muamalat Venture Sdn Bhd (MVSB), anak syarikat milik penuh Bank Muamalat, di bawah usaha sama Musharakah dengan Permodalan Kelantan Bhd di cawangan terpilih bagi aktiviti peniagaan pajak gadai Islamnya (Ar-Rahn).

Maklumat lanjut tentang Projek Ar-Rahn 5 dan IAP boleh didapati di www.iaplatform.com. - BERNAMA